Pada sesi tersebut, pelumba pasukan KTM Tech 3 itu dilihat bergelut untuk mendapatkan ren­tak yang terbaik ketika memacu jentera KTM RC 16 apabila menduduki tempat terakhir daripada 26 pelumba selepas merekodkan catatan 26 minit 01.853 saat selepas melakukan 49 pusingan.

Menurut Hafizh, dia terpaksa mencari gaya tunggangan baharu yang sesuai untuk mendapatkan keserasian bersama jentera tersebut selepas berdepan masalah pada tayar belakang.

“Pada hari pertama ini, saya akui sangat sukar (menunggang jentera KTM), namun saya telah buat yang terbaik berbanding sebelum ini meskipun terdapat sedikit pe­ningkatan dan masih jauh ketinggalan dengan pelumba hadapan.

“Buat masa ini, saya masih gagal mencari penyelarasan terbaik bersama pasukan terutamanya selepas agak bergelut sedikit mengawal tayar belakang yang menyukarkan saya mengambil selekoh.

“Tayar belakang kerap berpu­sing dan tiada cengkaman hingga menyebabkan saya gagal merekodkan catatan terbaik hari ini (semalam).

“Saya akui sedikit kecewa, namun semuanya masih terlalu awal kerana saya dan pasukan akan bekerja keras untuk mendapatkan penyelarasan terbaik dalam baki ujian dua hari ini nanti,” kata Hafizh sejurus tamat sesi ujian di sini semalam.

Hafizh turut mengakui jentera KTM kali ini lebih agresif berbanding jentera Yamaha yang digunakannya sebelum ini, sekali gus mengakui terpaksa mengambil sedikit masa untuk mendapatkan keserasian.

“Saya akui jentera KTM lebih agresif berbanding jentera Yamaha yang mudah ditunggangi. Namun saya akan cuba untuk mendapatkan keserasian bersama KTM secepat mungkin meskipun sedikit sukar mencari gaya tunggangan baharu,” ujarnya lagi.

Pada sesi tersebut, juara dunia lima kali, Marc Marquez yang baru selesai menjalani pembedahan bahu pada Disember lalu melakukan kejutan apabila merekod masa terpantas 1:59.621s, manakala, Alex Rins (Suzuki) di kedudukan kedua (1:59.880s) dan pelumba Yamaha, Maverick Vinales (1:59.937s) di tempat ketiga.