Jaguh basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang menyumbang dua pingat emas masing-masing dalam acara keirin dan pecut manakala satu lagi emas diperoleh oleh pelumba wanita, Anis Amira Rosidi menerusi acara keirin wanita.

Azizulhasni atau nama jolokannya The Pocket Rocketman meraih emas acara pecut menewaskan pelumba Kazakhstan, Andrey Chugay yang meraih perak manakala gangsa dirangkul oleh pelumba tuan rumah, Zhou Yu.

Dua lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis yang mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat dan ke-12.

Bagi acara keirin, Azizulhansi yang mewakili Team Azizul mengetepikan pelumba Taiwan, Kah Shing Fen yang meraih perak manakala Muhammad Fadhil pula di tempat ketiga.

Anis mengungguli acara keirin wanita dengan menewaskan pelumba Jepun, Ohta Riyu dan Crismonita Dwi Putri dari Indonesia untuk mendapat tempat ketiga.

“Saya sangat gembira apabila berjaya menaiki podium. Saya akan terus bekerja keras untuk menaikkan nama Malaysia,” kata Anis.