Kerja keras atlet berusia 33 tahun yang melakukan latihan tiga minggu le­bih awal di Pulau Langkawi, Kedah membuahkan hasil apabila menamatkan saingan kategori profesional lelaki dengan merekodkan masa terpantas 8 jam 32 minit 53 saat (s).

Hasil kemenangan tersebut, Guillaume berjaya merampas gelaran daripada juara bertahan Fredrik Croneborg dari Sweden sekali gus mengatasi rekod terpantas yang dicatatnya tahun lalu (8:39:12s).

Croneborg bagaimanapun sekadar menamatkan saingan pada kedudukan ke-11 keseluruhan.

Guillaume menyifatkan strateginya dengan melakukan pecutan awal menerusi disiplin berbasikal berjaya mele­takkannya sebagai juara baharu Ironman Langkawi 2017.

"Dua tahun lepas saya ketinggalan lima jam untuk mengatasi juara Ironman 2015. Semua peserta gelar saya gila kerana terlalu awal bertindak melakukan pecutan menerusi disiplin basikal.

"Kini saya buktikan bahawa tindakan itu tidak silap dan berjaya menakluk Langkawi buat kali pertama. Saya tidak mampu gambarkan bertapa gembiranya apabila meraih kemenangan ini," kata­nya dalam nada sebak selepas melepasi garisan penamat.

Dalam pada itu, Guillaume bertekad untuk kembali ke Langkawi tahun hadapan bagi mempertahankan gelarannya ini.

"Langkawi merupakan pulau terbaik dan rakyat tempatan di sini sangat baik kerana ketika menjalani latihan di sini saya terpaksa menggunakan tandas mereka.

"Jadi saya berjanji untuk kembali ke Langkawi dan ingin mempertahankan kemenangan ini pada musim 2018. Itu janji saya untuk meraih gelaran kedua di sini," ujarnya.

Tempat kedua menjadi milik atlet Denmark, Jens Petersen-Bach selepas mencatat rekod 08:36:43s dan peserta Jerman, Roman Deisenhofer menghuni tempat ketiga (08:40:44s).