FODEN (kiri) diturunkan oleh Guardiola pada aksi menentang Shakhtar sekali gus menjadi pemain England termuda beraksi di pentas Liga Juara-Juara.

Awal pagi semalam, Bernard dan Ismaily Goncalves masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-26 dan 32 sekali gus Shakhtar berjaya mematahkan rekod cemerlang City dengan kemenangan 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Metalist.

Sergio Aguero berjaya mengurangkan defisit jaringan apabila meledak gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan tetapi kebangkitan lewat skuad kendalian Guardiola tetap gagal mencari gol penyamaan.

Namun, Phil Foden, 17, mencuri tumpuan apabila menjadi pemain termuda England yang bermain di Liga Juara-Juara manakala pemain berusia 20 tahun, Tosin Adarabioyo disenaraikan di posisi pertahanan selain Brahim Diaz, 18, juga diberikan peluang untuk bermain di pentas tertinggi kejohanan Eropah tersebut.

Foden dan Diaz dilihat cukup mengancam di jentera serangan biarpun City gagal menutup kempen peringkat kumpulan dengan mata maksimum selain mengundang rasa puas hati Guardiola melihat cara anak-anak buahnya bermain menentang Shakhtar yang layak ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan.

“Tahniah kepada mereka (Shakhtar) tetapi kami juga berjaya (layak ke pusingan kalah mati). Kami bermula dengan baik tetapi mereka berjaya mengatasi tekanan kami dengan begitu baik.

“Gol pertama mereka benar-benar bagus manakala jaringan kedua itu berpunca kami tidak bertahan dengan baik tetapi City tetap berjuang.

“Saya cukup gembira dengan Adarabioyo, Diaz dan Foden dengan cara mereka bermain menentang pasukan berbakat seperti Shakhtar. Kami datang ke sini untuk menang tetapi malangnya, kami gagal berbuat demikian,” katanya. – Agensi