GRIEZMANN gagal tersenarai di dalam kelompok tiga pemain teratas
GRIEZMANN gagal tersenarai di dalam kelompok tiga pemain teratas 

Penampilan Griezmann musim lalu sangat cemerlang, malah menjadi tonggak utama Atletico apabila membantu pasukan tersebut menjuarai Liga Europa dan Piala Super UEFA.

Namun malangnya, impian Griezmann untuk dicalonkan dalam tiga kelompok teratas pemain untuk anugerah Ballon d’Or tidak kesampaian apabila tewas kepada Mohamed Salah (Liverpool), Luka Modric (Real Madrid) dan Cristiano Ronaldo (Juventus).

Bagaimanapun, Simeone tetap mengakui Griezman merupakan pemain terbaiknya selepas membantu Atletico meraih dua gelaran penting musim lalu.

“Pada musim 2018, Griezmann adalah seorang pemain terbaik di dunia. Penampilannya bersama pasukan ini sangat penting apabila membantu Atletico meraih dua gelaran utama.

“Tidak dapat dinafikan kejayaannya bersama Perancis merupakan detik terbaik dalam kariernya apabila meraih trofi paling berprestij dalam bola sepak. Jadi, dia adalah seorang pemain terbaik meskipun tidak merangkul gelaran Ballon d’Or,” katanya.

Dalam pada itu, Simeone turut menegaskan dia tidak akan melepaskan Griezmann meskipun terdapat khabar angin bahawa pemain berusia 27 tahun itu dipantau Barcelona.

“Saya tidak rasa akan kehilangan Griezmann dan saya tidak percaya dia akan ke Barcelona. Saya yakin dia akan kekal bersama kami untuk membantu pasukan ini meraih beberapa gelaran utama,” ujar jurulatih kelahiran Argentina tersebut.

Musim lalu, Griezmann beraksi dengan penuh agresif apabila berjaya meledak 37 gol dalam perlawanan kompetitif. – Agensi