Atas kertas, Russel, 21, dijangka mampu meraih pingat emas acara 200m GP Malaysia 2019 jika berjaya mengekalkan catatan masa 20.77s dilakukan untuk memadam rekod milik raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.

Berdasarkan penyertaan atlet-atlet luar negara, pencabar terdekat Russel pada GP Malaysia nanti ialah atlet Taiwan, Tai Sheng Wei yang mempunyai catatan peribadi terbaik 20.99 saat (s).

Cabaran lebih sukar menanti Russel untuk acara 100m kerana bakal berdepan jaguh pecut Taiwan, Chun Han Yang dengan rekod peribadi 10.11s selain raja pecut remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang mempunyai catatan terbaik 10.18s

Catatan 10.18s kepunyaan Lalu itu sebenarnya menyamai rekod 100m kebangsaan milik Khairul Hafiz.

Selain Taiwan dan Indonesia, antara negara yang mengesahkan penyertaan mereka pada GP Malaysia kali ini ialah Korea Selatan, Kyrgyzstan, Maldives, Thailand, Iraq, Jordan, India, Kazakhstan, Jepun serta Singapura.

Bakal memberikan saingan kepada jaguh-jaguh handalan Asia ialah raja pecut Sukan Malaysia 2018 dan Sukan Universiti ASEAN 2018, Muhammad Aqil Yasmin.

Antara atlet pecut negara yang dijangka bakal sertai GP Malaysia ialah Muhammad Zulfiqar Ismail, Muhammad Haiqal Hanafi, Nixson Kennedy, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Solihin Jamali, Abdul Wafiy Roslan dan G. Aravin Thevarr. - K! ONLINE