Terdahulu, Goulun berjaya menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma pada jarak lebih 55 meter ketika menentang Perak pada aksi Piala FA pastinya akan dikawal ketat oleh skuad Gergasi Merah.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, selain dua penyerang utama, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kiambi, Goulun bakal menjadi pemain ketiga yang akan dirantai pihak lawan.

“Goulun sudah meledakkan le­bih lima jaringan setakat ini biarpun pemain itu merupakan tonggak utama di benteng pertahanan kita.

“Selain faktor ketinggian, Goulun mempunyai kemahiran individu yang baik dan mampu menggelecek pemain lawan serta melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan,” katanya.

Menurutnya, aksi cemerlang bekas pemain Blackburn Rovers itu amat diperlukan untuk membenam Selangor bagi mengutip tiga mata di tempat lawan sekali gus kekal menghuni tangga kedua Liga Super.

“Prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh juga mampu merobohkan benteng pertahanan Selangor,” ujarnya.

Mohammed Suffian memberitahu, semua pemain perlu mengekalkan tahap kecergasan serta bermain dengan berhati-hati ekoran terpaksa mengharungi jadual padat Liga Super dan Piala FA.

“Selangor ada sedikit masa rehat berbanding kita kerana mereka sudah terkeluar daripada saingan Piala FA,” jelasnya.