Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan bahawa badan induk bola sepak negara ber­kenaan bakal membuat penilaian dan perbincangan secara teknikal terhadap gol Goulon yang dijaringkan dalam masa kecederaan ketika kemenangan 3-1 Tok Gajah ke ats Perak tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu, pihaknya bakal meminta persetujuan bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan Goulon sebelum nama pemain kelahiran Perancis berkenaan dihantar kepada FIFA esok.

“Secara peribadinya saya sendiri melihat gol berkenaan cantik dan sesuai untuk dihantar permohonan agar tercalon dalam Anugerah Puskas.

“Perkara pertama yang saya akan bincangkan esok (hari ini) di FAM adalah berkenaan gol Goulon bersama bahagian teknikal. Seterusnya kami bakal mendapatkan persetujuan bersama PBNP dan Goulon sebelum menghantar permohonan kepada FIFA.

“Jika segalanya berjalan de­ngan baik, FAM akan kemukakan permohonan berkenaan pada hari Selasa (esok),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jaringan Goulon itu terhasil menerusi sepakan percuma dari jarak 50 meter yang menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata penyokong Tok Gajah mahu Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mempertimbangkan gol tersebut untuk dicalonkan ke Anugerah Puskas.

Bagaimanapun, Pengurus Besar Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menjelaskan pihaknya akan menghadap Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah terlebih dahulu bagi meminta pendapat dan pandangan ba­ginda dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.