Penyertaan pelumba berusia 23 tahun dari Ampang, Selangor itu bakal disahkan oleh Monster Yamaha Tech 3 selepas menguji jentera pasukan keempat terbaik saingan musim 2017 itu pada sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 16 hingga 18 Februari ini.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana dapat menguji Hafizh bersama pasukan kami di Buriram. Selepas aksi tersebut, kita sekali lagi akan berbincang untuk membuat keputusan akhir,” ujar pengurus pasukan berkenaan, Herve Poncharal.

Dalam pada itu, Hafizh meluahkan rasa bangga diberi peluang untuk menguji jentera Yamaha pada sesi ujian MotoGP itu.

“Ini adalah umpama mimpi menjadi kenyataan. Saya akan lakukan aksi terbaik di Buriram dan buktikan saya sudah bersedia untuk menjadi pelumba MotoGP,” katanya.