Abd. Rauf yang merupakan pengurus pasukan Se­langor tahun ini percaya kehadiran bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menguatkan lagi skuad yang bakal menggunakan ‘acuan’ kombinasi pemain muda dan senior nanti.

Sebagai rekod, Azamuddin yang dikenali sebagai Alex merupakan pemain kedua yang bakal beraksi bersama skuad kendalian P. Maniam itu selepas mendapatkan khidmat bekas tonggak skuad Pahang dan Sarawak, Joseph Kalang Tie pertengahan bulan ini.

“Pihak pengurusan su­dah memulakan misi men­dapatkan beberapa pemain untuk menguatkan pasukan pada saingan musim depan. Justeru, apa yang saya boleh sahkan Joseph (Kalang) dan Alex (Azamuddin).

“Saya percaya kedua-dua pemain ini akan memberi dimensi baharu buat pasukan khususnya di bahagian sayap yang nyata perlu diisi oleh pemain berpe­ngalaman. Selain itu, me­reka berdua juga menepati citarasa ketua jurulatih pasukan (P. Maniam).

“Apa yang pasti, pihak pengurusan hanya akan mencari pemain yang sesuai dengan bajet persatuan dan mungkin akan ada pemain baharu yang akan diumumkan pada masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, FAS juga sah me­nyambung kontrak beberapa pemain musim ini seperti Mohd. Amri Yahyah, Razman Roslan, Saiful Ridzuan, Halim Zainal serta dua penjaga gol, Khairul Azhan Khalid serta Norazlan Razali.

Selain itu, seramai enam pemain belia yang menjuarai trofi Piala Presiden turut diserap dalam skuad utama seperti Haziq Ridwan, Amirul Haziq Rasmizal, Azizul Baharuddin, D. Kugan, M. Tamil Maran dan Syukri Azman.

Mengulas lanjut, Abd. Rauf turut mendedahkan, perbincangan bagi membawa masuk pemain muda Indonesia, Evan Dimas menyarung jersi keramat Merah Ku­ning masih giat dilakukan.

“Setakat ini, kami hanya mengekalkan khidmat pe­nyerang import, Rufino Segovia. Mengenai kemasukan Evan (Dimas), perkara itu masih belum dapat di­sahkan dan kami juga tidak mahu terburu-buru kerana pintu perpindahan pemain import akan ditutup pada Februari tahun depan,” katanya.