Bekas penyerang Atletico Madrid itu jelas menjadi watak penting buat skuad Gergasi Merah pada musim ini selepas Segovia berjaya mengumpul empat gol sepanjang dua perlawanan.

Segovia tidak mengambil masa lama memberikan impak kepada pasukan bimbingan P. Maniam dengan membuka tirai jaringan buat pasukan tuan rumah seawal minit kelapan.

Begitupun, Melaka United berjaya menyamakan kedudukan menerusi Tiago Gomes yang memanfaatkan kelebihan sepakan percuma (m-29) tetapi Segovia hampir berjaya memastikan Selangor berada di depan, namun pemain berusia 32 tahun itu gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-43.

Syahmi Safari memastikan skuad Gergasi Merah berada di depan (m-53) disusuli Segovia meledak gol ketiga Selangor hasil rembatan kencang (m-66) sebelum Syahmi melengkapkan kemenangan bergaya dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-89.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Perak pada aksi yang menyaksikan skuad Helang Merah terpaksa beraksi 10 pemain selepas Liridon Krasniqi diarahkan keluar padang.

Skuad The Bos Gaurus membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Gilmar Jose Da Silva (m-20) tetapi Sandro Da Silva menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-77.

Pasukan pelawat kemudian menggandakan jaringan menerusi Mohd. Nazrin Nawi pada minit ke-86, sebelum Nazirul Naim Che Hashim menambah derita Kedah untuk gol ketiga pada masa kecederaan.