"Sabtu ini (Ahad waktu Malaysia) merupakan acara terakhir saya iaitu 200m pecut dan saya bertekad memberikan persembahan terbaik dalam acara ini.

"Saya mengharapkan anda memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan saya," jelas Mohd  Azizulhasni dalam laman Instagrammya, @azizulawangofficial.

Terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman', beliau gagal mempertahankan gelaran juara dunia acara keirin selepas terkandas di pusingan penyisihan (repechage) pada Khamis.

Terdahulu, pada saringan keenam di pusingan pertama, Mohd Azizulhasni berada pada kedudukan ketiga dengan saingan dimenangi pencabar dari Columbia, Fabian Hernando Puertas Zapati yang meraih tiket automatik ke pusingan kedua.

Ia memaksa The Pocket Rocketman mengharungi saingan repechage dan perlu muncul juara untuk layak ke pusingan kedua.

Sementara itu, mengulas mengenai kekalahannya dalam acara keirin, atlet di bawah Program Podium itu mengakui sedikit terkesan dengan cuaca sejuk yang melampau sejak tiba di Belanda.

"Bukan hendak memberi alasan tapi cuaca sejuk melampau serta dijangkiti demam viral sejak tiba di Belanda, beberapa hari lepas telah menjejaskan persembahan saya pada kali ini.

"Saya dapat rasakan kayuhan saya merosot berbanding ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini," katanya.

Selain itu, Mohd Azizulhasni berkata beliau turut mengalami kemalangan ketika sesi pemanas badan  apabila tayar basikalnya tergelincir daripada kawasan kayuhan sebelum bermulanya acara keirin. - Bernama