Skuad Majestic Tigers menamatkan saingan Kumpulan A di tangga tercorot apabila sekadar menang 2-1 ke atas Vietnam dan tewas kepada pasukan tuan rumah, Taiwan (4-5) dan Bahrain (1-3) dalam aksi terakhir di University of Taipei Gymnasium, Isnin lalu.

Bagaimanapun, kegagalan itu bakal dijadikan sebagai titik kebangkitan buat skuad negara kerana ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong kekal optimis Majestic Tigers sebenarnya memiliki potensi besar menjadi kuasa pencabar futsal Asia.

Tegas Chun Yong, kekalahan itu tidak akan menyekat semangat serta keghairahan skuad negara untuk tampil lebih kuat serta matang pada kejohanan-kejohanan akan datang.

Ikuti temu bual wartawan Kos­mo!, AHMAD FAZLI MOHD. YADI bersama Chun Yong bagi merungkai pandangan beliau terhadap potensi, harapan serta hala tuju futsal Malaysia pada peringkat antarabangsa dan tempatan.

Apakah rumusan anda terhadap persembahan pasukan kebangsaan selepas mengha­rungi Futsal AFC 2018?

Apa yang saya telah laksanakan kepada pasukan kebangsaan ialah mengenai gaya permainan untuk peringkat tertinggi. Kita dapat lihat bahawa rentak, sistem permainan dan strategi perlu kuat bagi membentuk skuad kebangsaan menjadi lebih maju.

Skuad negara masih perlu memperbaiki lagi aspek-aspek ini untuk mengatasi fizikal lawan yang besar dan kuat pada pe­ringkat Futsal AFC atau bersaing de­ngan pasukan Eropah.

Namun, para pemain telah membuktikan mereka dapat melakukannya tetapi tiada kejayaan boleh datang untuk tempoh sehari dan proses membina pasukan lebih baik ambil masa sehingga setahun.

Skuad negara perlukan banyak pendedahan dan persaingan lebih kuat pada peringkat liga domestik untuk mencapai tahap itu.

Bagi Futsal 2018 kali ini, ia adalah salah satu pendedahan dan proses terbaik untuk membentuk pasukan lebih baik.

Skuad negara gagal layak ke suku akhir, pada panda­ngan anda adakah skuad negara masih kurang memiliki pemain-pemain berpotensi tinggi?

Pemain-pemain tempatan memiliki kualiti setara dengan para pemain luar negara jika mereka mendapat pendedahan sepatutnya.

Dalam edisi kali ini, kita masih gagal melepasi peringkat kumpulan. Para pemain memiliki pres­tasi positif dan karakter kuat tetapi ia masih belum mencapai jangkaan saya dari semua aspek.

Saya cukup arif dengan pemain-pemain Malaysia dan kita memerlukan program kuat dan persediaan mantap sebelum turun ke mana-mana kejuaraan bagi menambah baik aspek-aspek ini.

Falsafah yang di­laksanakan oleh saya kepada pasukan kebangsaan ber­kaitan dengan beberapa elemen utama yang mana ia mesti berlatih secara konsisten dan memerlukan masa untuk berkembang.

Kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian pada Futsal AFC kali memiliki liga yang lebih kompetitif berbanding Malaysia, apakah pandangan anda mengenai pertumbuhan liga tempatan futsal?

Saya setuju bahawa liga domestik yang kuat akan berjaya menghasilkan pemain-pemain serta jurulatih berkualiti. Secara peribadi, saya ingin melihat liga nasional kita akan berkembang dan menjadi lebih baik.

Saya juga setuju jika liga futsal tempatan dijadikan liga profesional kerana apa yang saya lihat dalam masa terdekat, kita sebenarnya memiliki ramai pemain berbakat besar sama seperti negara lain.

Pendidikan juga memainkan peranan penting. Bagi negara-negara yang bergerak maju untuk memiliki liga semi profesional atau profesional, mereka sering melangkah lebih pantas berbanding liga amatur domestik. Itu tidak perlu disangkal lagi.

Apakah futsal negara masih mempunyai potensi untuk menjadi salah satu kuasa besar di pentas Asia?

Kami sentiasa percaya dan secara peribadi, saya cukup yakin bahawa Malaysia memiliki potensi besar dan skuad kebangsaan harus perlu tunjukkan ketika bermain di pentas antarabangsa.

Keyakinan itu hadir sebagaimana kamu boleh lihat perkembangan skuad kebangsaan yang bermain baik pada Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan perlawanan-perlawanan persahabatan lalu.

Bermain dalam tempoh setahun dan menghasilkan keputusan memberangsangkan adalah suatu pencapaian hebat tetapi seperti saya katakan tadi, tiada kejayaan datang bergolek dalam masa singkat.

Perjuangan harus diteruskan dan kita harus bekerja keras untuk membina pasukan kebangsaan yang lebih matang serta kuat dan saya percaya kita me­nuju ke arah itu.

Apakah harapan anda buat futsal tempatan untuk tempoh 10 tahun akan datang?

Saya berharap futsal Malaysia akan dapat melaksanakan program akar umbi dan pembangunan yang lebih sistematik buat generasi baharu.

Mengamalkan budaya minat yang mendalam juga mampu menghasilkan pemain-pemain yang kuat dari pelbagai aspek dalam sukan bola sepak dan futsal.

Kedua, saya mahu melihat persaingan kompetitif liga kebangsaan domestik dengan menaik taraf menjadi semi-pro atau profesional kerana ia akan me­ningkatkan kecekapan pemain dan melahirkan jurulatih berpotensi tinggi.

Apa pun, pelan biru dan struktur memperkasakan futsal Malaysia harus memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk sektor swasta, kerajaan atau mana-mana pihak. Bagi saya, me­laksanakan rancangan serta program bermula dari sekarang.

Ia adalah masa terbaik untuk mengembangkan antara salah satu sukan popular di negara kita, sekali gus membolehkan Malaysia dapat bersaing de­ngan kuasa bola sepak dan futsal di pentas antarabangsa. Itulah matlamat dan harapan saya.