Katanya, beliau amat teruja untuk membantu negara menjuarai futsal AFF 2018 buat kali pertama selepas kejohanan itu mula diperkenalkan pada tahun 2001.

Tahun lalu, skuad negara hampir mencipta kejutan untuk menjadi juara tetapi tumbang kepada juara bertahan, Thailand 4-3 pada masa tambahan di Vietnam.

Justeru, Chun Yong yang membantu pasukan negara layak ke kejohanan futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta layak dalam dua final iaitu Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan futsal AFF 2017 Vietnam, percaya pasukan negara memiliki ke­upayaan untuk memenangi trofi pada kejohanan major di pentas antarabangsa itu.

“Selepas kejohanan futsal AFC, tiada lagi kem latihan negara buat masa ini bagi memberikan pemain-pemain fokus kepada kelab masing-masing dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK).

“Ia memberikan saya ruang untuk meneruskan analisis persembahan pasukan kebangsaan sebagai satu pasukan dan individu. Saya telah mengenal pasti beberapa ruang yang perlu diperbaiki sebelum kita bermain pada futsal AFF di Indonesia tahun ini.

“Hajat saya adalah untuk bermain sekurang-kurangnya enam perlawanan berstatus ‘A’ menentang pasukan dari Asia atau Eropah bagi terus memberikan pendedahan serta menyesuaikan diri dengan implikasi dan aspek-aspek yang saya mahukan.

“Selain itu, saya menggesa pemain-pemain supaya meningkatkan prestasi selepas mereka menjalani sesi latihan bersama kelab. Saya akan berbincang dengan pihak pengurus dan berharap kita akan dapat terus bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Chun Yong juga mendedahkan beliau telah mengenal pasti beberapa potensi muka baharu yang dijangka boleh diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Katanya, beliau mahu ramai pemain berkualiti tinggi serta ber­disiplin dalam misi memperkasakan pasukan kebangsaan selaras dengan visinya mahu membantu Malaysia layak bermain ke Piala Dunia pada masa akan datang.

“LFK tahun ini adalah satu kejohanan bagus dan ia membolehkan saya mengenal pasti beberapa pemain muda dan senior yang boleh dipanggil untuk kem latihan pada Julai depan jika ada kem latihan pusat.

“Terdapat tiga empat pemain yang menunjukkan potensi tetapi terlalu awal untuk menilai mereka sama ada mampu menyesuaikan diri dengan corak persembahan pasukan kebangsaan.

“Antaranya ialah Mohamad Iqbal Aikal daripada Kuantan Rangers FC (KRFC), Mohamad Nazreen (Melaka United) dan Mohamad Iftitah yang sebelum ini bermain dengan Sabah dan kini mewakili KRFC.

“Misi saya adalah mahu mengembangkan pasukan kebangsaan ke peringkat lebih jauh dan menjadikan pasukan ini menjadi semakin bagus. Sama seperti visi dan misi saya. Kita harus memiliki corak permainan tersendiri dan sudah pasti­ saya mahu melihat pasukan negara menjadi juara ASEAN­ dan layak ke Piala Dunia.

“Apa yang penting adalah pembangunan futsal tempatan tidak boleh terhenti kerana pe­ringkat akar umbi memainkan elemen penting untuk masa depan futsal negara,” ujarnya.