Mengambil kira sukan tinju sebagai acara subjektif yang biasanya memihak kepada peserta tuan rumah, atlet berusia 28 tahun itu menjelaskan bahawa peluangnya untuk membawa pulang pingat pada temasya itu nanti agak sukar sekiranya gagal mencapai kemenangan secara TKO.

“Saya sudah lama dan sangat faham tentang sukan tinju ini. Apabila berjumpa petinju tuan rumah dan tidak mampu memberi tumbukan TKO kepada mereka, pasti saya akan kalah. Tinju ialah sukan subjektif yang biasanya akan memihak kepada tuan rumah kerana ia melibatkan pengiraan mata.

“Jika gagal melakukan TKO, saya harus cuba menguasai perlawanan itu 100 peratus,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, lima atlet tinju negara telah terpilih menyertai Sukan SEA 2019 Filipina dengan tiga daripadanya dalam kategori A dan dua lagi dalam kategori B.

Atlet yang diletakkan di bawah kategori A ialah Muhamad Fuad, Arfiqani Ahmad Ansari dan Khir Akyazlan Azmi.

Pada temasya sama di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad tinju meraih satu emas melalui Muhamad Fuad dalam kategori 49 kilogram (kg) lelaki manakala pingat perak pula disumbangkan Adli Hafidz Mohd Pauzi (81kg) dan R. Indran meraih gangsa dalam acara 75kg lelaki.

Bagi memastikan kem tinju negara mampu mengekalkan prestasi terbaik pada sukan dwitahunan itu nanti, mereka dijadualkan terbang ke Kazakhstan pada Oktober depan bagi menjalani latihan intensif.

“Untuk latihan nanti (Kazakhstan), saya akan fokus dengan mencari rakan sepelatih yang sesuai serta mempunyai tahap yang sama dengan saya. Ini kerana di Malaysia, saya tidak memiliki rakan sepelatih se­perti itu, sekali gus menyebabkan saya gagal mencapai tahap lebih tinggi,” kata Muhamad Fuad.