Juara Liga Premier 2018 itu akan mengiringi skuad Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) yang turut layak selepas menewaskan Me­laka United 2-1.

Ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan berkata, beliau ternyata gembira apabila pasukannya berjaya mendapatkan tiga mata di laman sendiri untuk layak ke saingan suku akhir.

“Saya melakukan sedikit perubahan malam ini (kelmarin) dengan meletakkan Mohd. Sya­mim Yahya dan Muhammad Zahril Azri Zabri dalam kese­belasan utama.

“Taktikal saya ternyata menjadi apabila kehadiran Syamim dan Zahril memberi impak besar dalam merencanakan serangan terhadap pasukan lawan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Menurut Sathianathan, anak-anak buahnya berjaya bangkit daripada kekalahan 0-1 de­ngan PKNS FC, Selasa lalu apabila mempamerkan aksi lebih bertenaga untuk menguasai permainan.

Katanya, jentera pasukannya terus melancarkan serangan bertali arus pada separuh masa kedua dan kerja keras mereka berhasil apabila memperoleh dua jaringan untuk mencatatkan kemenangan 2-0.

“Kemenangan ini turut dibantu aksi cemerlang penjaga gol, Mohd. Farizal Harun yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pasukan lawan,” jelasnya.

Pada aksi kelmarin, Felda United memperoleh gol pertama hasil sepakan percuma menarik yang berjaya disempurnakan oleh Thiago Augusto pada minit ke-65.

Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan dengan jaringan tunggal Augusto, sorakan penyokong Felda United kembali bergema apabila Gilberto Fortunato meledak gol kemenangan pada masa kecederaan sebelum wisel penamat dibunyikan.