Pada aksi tersebut, Federer yang juga juara Grand Slam 20 kali hanya memerlukan tempoh 80 minit untuk menyingkirkan pemain ranking ke-58 dunia itu.

Federer mengakui sangat gembira dengan kemenangan tersebut terutamanya apabila dapat mempamerkan rentak sebenar tanpa tewas sebarang set seperti yang dialaminya pada dua pusingan awal minggu ini.

“Saya hanya bermain seperti biasa dan sangat berpuas hati kerana tidak memerlukan tempoh yang lama untuk meraih kemenangan. Saya tidak pasti sama ada ini persembahan terbaik saya atau tidak, namun yang pasti saya gembira kerana tidak mengalami sebarang kekalahan.

“Secara jujurnya, saya tidak rasa aksi saya ini sudah menepati jangkaan sebenar saya, namun saya sudah boleh lega kerana saya seperti sudah dapat mengembalikan semula rentak permainan seperti kejohanan lain sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic turut tidak berdepan masalah untuk mara selepas menewaskan Denis Kudla dengan kemenangan straight set 6-3, 6-4, 6-2, sekali gus bakal membuat perhitungan dengan Stanislas Wawrinka di pusingan keempat esok.

Pemain sensasi Jepun, Kei Nishikori pula ditunjukkan jalan keluar selepas tewas kepada pemain muda Australia, Alex De Minaur dengan keputusan 2-6, 4-6, 6-2, 3-6. – AFP