Diletakkan sebagai antara pasukan pilihan, pasukan Faris Petra dari Kelantan ini meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir pada karnival hoki yang menampilkan bekas-bekas pelajar sekolah SBP seluruh negara itu.

Menurut pengurus pasukan, Dr. Azuwairie Amir, pasukan Faris Petra bakal menurunkan bekas-bekas pemain  terbaiknya yang pernah mengharumkan nama sekolah dan negeri Kelantan selain mempertaruhkan bekas bintang mereka yang beraksi di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Faris Petra pernah merupakan antara nama besar dan ‘kilang’ melahirkan pemain hoki suatu ketika dahulu dan dengan reputasi ini sudah pasti ia satu tugas besar untuk kami merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

“Kami menganggap ia satu cabaran dan walaupun tujuan utama kami menyertai karnival hoki ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara bekas-bekas alumni SBP yang lain, kami tetap bersedia untuk memberi aksi yang terbaik kerana pasukan-pasukan lain juga tidak kurang hebatnya,” kata Azuwairie.

Tambahnya, pasukan SBP dari Pengkalan Chepa, Kelantan itu akan menurunkan dua bekas pemain bintang mereka, Zainuzi Mohd Zain, 44, yang pernah beraksi bersama kelan Detas dan BSN dalam Liga Hoki Malaysia serta Hasmadi Ismail, bekas kapten skuad Malaysia Bawah 18 tahun yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA di Chiang Mai 1995.

Karnival Hoki Alumni SBP 2018 diperkenalkan buat kali pertama dan akan berlangsung di Stadium Hoki N
Karnival Hoki Alumni SBP 2018 diperkenalkan buat kali pertama dan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

 

Kejohanan Hoki SBP 2018 yang julung kali diperkenalkan ini bakal menampilkan 12 SBP yang bertanding dan menjadi daya tarikan unik buat pencinta hoki tanah air, khususnya dalam kalangan bekas-bekas pelajar yang kini telah berjaya dalam bidang profesional masing-masing.

Selain Faris Petra dari Kelantan, alumni SBP lain yang turut menyertainya adalah Sekolah Menengah Sains Johor Alumni (Sajoha), Sekolah Menengah Sains Dungun (Ex SMSD), Kolej Melayu Kuala Kangsar (Mcoba Pyhthon), Sekolah Alam Shah (ASAS), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Stroba Hockey).

Alumni lain adalah Sekolah Sultan Ahmad Shah Kuantan (Exsas), Sekolah Menengah Sains Machang (Smachian HT), Maktab Tentera Diraja (OPA), Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas), Sekolah Menengah Sains Selangor (SMS Old Boys) dan Sekolah Menengah Sains Haji Sultan Ahmad Shah, Pekan (Shah Alumni HC)

Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan di antara bekas-bekas pemain hoki SBP yang pernah berentap dalam Pesta Piala Perdana Menteri, satu kejohanan sukan yang popular dalam kalangan sekolah SBP suatu ketika dahulu.

Selain itu, karnival ini turut menyediakan pelbagai lagi aktiviti menarik seperti gerai jualan, trak makanan, klinik hoki, zon permainan kanak-kanak dan juga sesi autograf bersama ikon hoki jemputan S. Kumar dan Nor Azlan Bakar. - K! ONLINE