Amar Pritpal merasakan perbincangan secara dalaman perlu dilakukan bagi membolehkan semua pihak dapat memberikan penjelasan terperinci sebelum melakukan sebarang keputusan.

“Pada pendapat saya apa saja permasalahan, sesuatu isu yang tidak jelas perlu diatasi menerusi perbincangan demi situasi menang-menang.

“Kita perlu mendapat penjelasan sebelum membuat apa-apa keputusan. Kita selesaikan dulu secara dalaman sebelum bawa keluar. Kita semua adalah rakan kongsi dan seharusnya mempunyai hak untuk bersuara tapi secara perbincangan bersama,” katanya.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam memberi kenyataan untuk menjemput KFA mengadakan perbincangan pada 10 Januari ini.

Perkara tersebut dilakukan ekoran KFA tidak menghantar wakil ketika pertemuan MFL bersama 24 rakan kongsi lain terdiri daripada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad turut senada dengan Amar menyifatkan pendekatan MFL seharusnya disambut lebih positif.

“Sebagai rakan kongsi bersama MFL, saya berpandangan Kedah duduklah berbincang dahulu bersama MFL seterusnya mereka boleh bertanyakan terus apa sahaja perkara berbangkit sebagaimana rakan-rakan kongsi lain lakukan.

“Sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya, terpulang kepada mereka tetapi apa yang mustahak, mereka juga sebagai rakan kongsi harus tahu kepentingan mereka dalam MFL,” katanya. - K! ONLINE