Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan Kim Swee menggugurkan penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil dan pemain pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie, namun memanggil kembali penyerang Johor Darul Ta'zim II, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang baru pulang dari sesi percubaan di Jepun, baru-baru ini.

Kim Swee sebelum ini terpaksa menggugurkan penyerang Negeri Sembilan, N. Thanabalan selepas ujian MRI pada 9 Ogos lepas mendapati kecederaan lututnya memerlukan tempoh lebih lama untuk pulih.

FAM memaklumkan dua pemain Kedah iaitu pemain tengah Baddrol Bakhtiar, 30, dan pemain pertahanan Mohd Rizal Ghazali, 26, mengisi kuota tiga pemain lebih umur 23 tahun yang dibenarkan, namun satu lagi slot tidak dapat diisi kerana dua lagi pemain senior yang turut didaftarkan dalam senarai awal 30 pemain sebelum ini iaitu pemain JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pemain Perak, Shahrul Saad mengalami kecederaan.
Baddrol dilantik sebagai ketua pasukan bagi skuad Sukan Asia 2018 ini.

Skuad B-23 kebangsaan akan berlepas ke Jakarta, Indonesia, esok sebelum terus ke hotel penginapan di Bandung.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen Sukan Asia 2018 bertemu Republik Kyrgyzstan pada 15 Ogos dan Republik Korea pada 17 Ogos, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Malaysia akan berdepan Bahrain pada aksi terakhir kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung pada 27 Ogos diikuti separuh akhir pada 29 Ogos, manakala aksi final pada 1 September. - Bernama

 

Senarai 20 pemain ke Sukan Asia:

Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Muhammad Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Muhammad Adib Zainuddin, Hadi Fayadh Abd Razak (JDT II); Baddrol Bakhtiar, Mohd Rizal Ghazali, Ifwat Akmal Chek Kassim, Muhd Akhyar Abdul Rashid (Kedah)
Muhammad Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur); Faisal Abdul Halim, R. Kogileswaran (Pahang); Muhamad Daniel Amier Norhisham (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan); Muhamad Syazwan Zaipol Bahari (Perak); Tommy Mawat Bada (PJ Rangers FC); Muhammad Syahmi Safari (Selangor).