Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pertemuan dengan rakan sejawatnya Chung Mong Gyu adalah ke­sinambungan usaha dibuat pihaknya sebelum ini, yang mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk memboleh­kan pemain Malaysia menimba ilmu bersama kelab-kelab JFA.

Katanya, antara yang akan dibincangkan adalah hasrat FAM untuk menghantar sekurang-kurang­nya seorang atau dua pemain Malaysia untuk mengi­kuti latihan ber­sama kelab di Korea Selatan.

“Kita tahu Jepun dan Korea Selatan adalah salah satu contoh atau pasukan yang berdisiplin tinggi, dan negara ini telah layak ke Piala Dunia secara berterusan. Jadi, ini perlu dicontohi tetapi kita harus juga bersabar dan terus berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ge­lang Patah, Johor kelmarin.

Enam pemain bola sepak muda negara termasuk bintang skuad bawah-18 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin mendapat peluang keemasan untuk berguru di Jepun secara berpe­ringkat bermula Selasa lepas.

Luqman Hakim, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari menimba ilmu de­ngan Cerezo Osaka bermula 3 hingga 13 September ini.

Peringkat kedua pula bakal menyaksikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd. Khalili bersama Luqman Hakim sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo pada Oktober nanti.

Pada Ahad lepas, FAM memberitahu, pihaknya akan menghantar enam pemain bola sepak muda negara ke Jepun secara berperingkat untuk menimba ilmu di sana.

Menurut Hamidin, sepanjang keberadaan di sana, semua pemain tersebut akan dinilai prestasi mereka sebelum boleh dipertimbangkan untuk beraksi dengan kelab-kelab Jepun.

“Jadi di sini, komitmen daripada pemain perlu kita tagih supaya mereka bersedia bermain di luar negara dan meninggalkan keluarga untuk mendapatkan sesuatu perkara yang ber­lainan,” katanya. – Bernama