Video peminat cilik Harimau Malaya, Omar Saiful Razman, 8, yang bersorak dan menangis ketika meraikan gol kemena­ngan Mohamadou Sumareh pada aksi sulung Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta yang tular telah mendapat perhatian beberapa pemain skuad Harimau Malaya.

Empat pemain skuad kebangsaan diketuai Sumareh, Shahrul Mohd. Saad, Muhammad Syafiq Ahmad dan kapten skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias telah membuat kejutan kepada Omar.

Keempat-empat pemain Harimau Malaya itu meng­hadiahkan tiket kepada Omar bagi me­nyaksikan aksi kedua Kumpulan G antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi satu pertemuan khas yang diatur FAM di hotel penginapan pemain skuad kebangsaan di Seri Kembangan, Selangor.

FAM yang ber­kongsi video kejutan berkenaan di laman Face­book semalam turut memaklumkan bahawa Omar turut menerima sehelai jersi Harimau Malaya yang ditandatangani oleh Sumareh.

Omar merupakan anak sulung kepada pelakon Nadiya Nisaa dan suaminya, Saiful Razman Mohd. Kassim.

Video Omar yang bersorak dan menangis gembira selepas Sumareh menjaringkan gol kemenangan skuad Harimau Malaya ke atas Indonesia menjadi tular di laman sosial baru-baru ini sehingga mendapat perhatian netizen yang berbangga dengan semangat ditunjukkan peminat cilik berkenaan.

FAM turut menghargai soko­ngan yang dipamerkan peminat setia Harimau Malaya, Mohd. Zulrani Helmi Mohd Zakri, 39, yang patah tangan kiri, ketika menyaksikan perlawanan itu di Jakarta.

Farizal, Shahrul, Muhammad Syafiq Ahmad bersama Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menziarahi Mohd. Zulrani di kediamannya di Kuala Lumpur semalam turut menghadiahkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan UAE pada 10 September ini selain sedikit sumbangan pada pertemuan berkenaan. – Bernama