Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Status FAM mendedahkan, ATM bakal dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain kelahiran Nigeria yang kini mewakili kelab Myanmar, Magwe FC.

Abdulafees menyertai ATM pada 2015/16 selepas setahun bermain bersama Perak pada musim 2014/2015 dan berjaya meledak 11 gol sepanjang 28 penampilan bersama The Gladia­tors.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub, tuntutan dikemukakan oleh Abdulafees terhadap Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) berhubung tunggakan gajinya.

“Tuntutan pengadu telah di­terima sepenuhnya dan PBATM dikehendaki membayar tunggakan gaji sebanyak AS$180,000 (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh pe­nerimaan keputusan ini.

“Jika PBATM gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Joehari yang mempengerusi mesyuarat khas itu buat kali kedua bagi penggal 2017-2021 Rabu lalu turut mendedahkan tuntutan dikemukakan oleh jurulatih, Mohd. Zan Mat Aris terhadap Kelab Bola Sepak Peta­ling Jaya Rangers (PJ Rangers FC) berhubung pampasan kontrak.

“Tuntutan pengadu telah diterima sepenuhnya dan PJ Rangers dikehendaki membayar pampasan baki kontrak sebanyak RM330,000 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini.

“Jika PJ Rangers FC gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi,” katanya.