‘Mesin gol’ Malaysian Tigers itu sedar ia adalah satu tugas berat memandangkan The ­Oranje adalah pasukan No. 4 dunia yang sentiasa digeruni lawan-lawan selain memegang status selaku naib juara Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

“Saya hendak cuba menja­ringkan gol ke atas Belanda. Ia bukan satu perkara yang mustahil. Bola itu bulat dan kami tidak akan bermain secara bertahan.

“Kami akan tetap cuba me­nyerang Belanda dan saya berharap kami dapat menggunakan setiap peluang yang ada dengan baik. Barulah boleh te­ngok sama ada dapat jaringkan gol atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, bintang pasukan hoki Terengganu itu berharap mereka dapat memberikan tentangan sengit kepada Belanda dan cuba mempelajari sesuatu menentang bekas dua kali pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan tiga gelaran juara dunia tersebut.

“Kami susah hendak dapat perlawanan dengan Belanda kerana tidak bermain kejohanan besar seperti Trofi Juara-Juara dan Sukan Olimpik. Jadi ,ini salah satu kejohanan besar kami dapat bertemu dengan mereka.

“Kami perlu menggunakan peluang ini untuk cuba sedaya upaya mencuri sekurang-kurangnya satu mata dan pa­ling penting, belajar daripada perlawanan ini dengan mereka,” ujarnya.

Skuad negara, ranking ke-12 dunia, dilihat perlu menang sekurang-kurangnya satu perlawanan dalam saingan Kumpulan D untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan seterusnya dalam misi melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Selain Belanda, satu lagi pa­sukan Eropah, Jerman juga dilihat sukar buat Malaysian Tigers cuba mencatatkan kemenangan sekali gus meninggalkan wakil terakhir Kumpulan D, Pakistan sebagai lawan paling realistik untuk cuba meraih tiga mata.

Skuad negara bimbingan Roelant Oltmans akan menentang Pakistan pada 5 Disember dan Jerman empat hari kemudian.