FIA dalam kenyataannya semalam memberitahu, pengenalan khidmat kanak-kanak litar tersebut akan menjadikan acara sebelum saingan lebih relevan dan menarik buat para peminat, terutamanya generasi muda.

Pihak yang terbabit dengan inisiatif tersebut merupakan penganjur setiap Grand Prix (GP) dan mereka akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Sukan Kebangsaan (ASN) bagi memastikan kanak-kanak termasuk ahli keluarga mereka mengambil bahagian sepanjang minggu menjelang aksi GP di venue masing-masing.

Menurut FIA, kanak-kanak yang terlibat akan dipilih oleh persatuan permotoran ma­sing-masing berdasarkan merit mahupun cabutan bertuah termasuk generasi muda yang bersaing pada Formula Junior atau Go-kart.

“Mereka yang bertuah berpeluang mengiringi serta berdiri di sebelah 20 pelumba terbaik F1 di litar sewaktu mereka bersiap-sedia untuk perlumbaan,” kata kenyataan FIA.

Sementara itu, Pengarah Urusan Operasi Komersial F1, Sean Bratches berkata, pengenalan acara itu akan menjadi momen luar biasa kepada generasi muda kerana mereka akan berdiri bersama pelumba idola masing-masing sebelum beraksi.

“Sudah pasti ia akan menjadi kenangan serta pengalaman yang tidak akan dilupakan. Pada masa sama, ia akan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk terus berlatih dan belajar untuk menjadi pelumba hebat pada masa depan.

“Apa lagi acara yang sesuai dalam memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk muncul sebagai pelumba F1 tersohor jika bukan acara sebegini,” kata Bratches. – Agensi