Buktinya, syarat pertan­dingan edisi ke-78 musim 2018 yang bermula 25 September di Lembah Klang ini turut membenarkan khidmat tiga pemain bukan Melayu digunakan oleh kesemua 20 pasukan.

Timbalan Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, kepada segelintir pihak yang masih melabelkan PERR sebagai ‘kejohanan rasis’, saya menyeru mereka, hentikanlah tanggapan yang tidak berasas ini.

“Malah meneruskan seperti musim lalu, kami masih me­ngundang Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) menyer­tainya dan mereka bakal beraksi dalam Kumpulan B musim ini dengan Kelantan, Melaka dan Johor serta muka baharu Shah Alam Antlers.

“Bagi menjadikan pasukan MCFA bersifat berbilang bangsa atau majmuk, kami turut mewajibkan mereka mendaftarkan tiga pemain kaum Melayu dengan seorang daripadanya mesti berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Tirai musim ini akan disingkap dengan perebutan Piala ­Agong antara penyandang, Pahang dan juara bertahan PERR, Pulau Pinang di Stadium Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 2 September ini.

Pulau Pinang bagaikan berada dalam ‘Kumpulan Maut’ A apabila bakal berentap dengan tiga bekas juara PERR - Perlis, Kedah dan Perak serta bekas pemenang Piala Agong 2016, Negeri Sembilan pada saingan peringkat awal sehingga 30 September ini.

Pahang selaku juara Piala ­Agong yang menewaskan Negeri Sembilan 4-3 tahun lalu, menge­tuai Kumpulan C di samping naib juara PERR 2016, Polis Diraja Malaysia, Terengganu dan ‘dua bersaudara’ - Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selangor yang disekat Pulau Pinang dalam separuh akhir musim lalu, membentuk Kumpulan D bersama Angkatan Tentera Malaysia, Felda United dan Penjara FC serta satu-satunya pasukan jemputan luar negara, Singapura.

“Hadiah juara PERR musim ini dinaikkan kepada RM60,000 manakala naib juara, RM40,000 sementara pemenang Piala Agong kekal de­ngan RM20,000 dan naib juara, RM10,000,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PBMM.

Bersempena Piala ­Agong, perlawanan persahabatan empat penjuru akan turut dilangsungkan di Padang USM, Pulau Pinang pada 1 September yang melibatkan Veteran PBMM, Veteran Pulau Pinang, Majlis Belia Malaysia dan negeri itu.

 

Sejarah

PERR pada mulanya dikenali sebagai Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Sultan-sultan dan diasaskan pada 1922 bersempena lawatan Raja Muda England (Putera Wales) ke timur termasuk Tanah Melayu dan Singapura.

Sebanyak 10 pasukan Me­layu negeri mengambil bahagian iaitu Singapura, Johor, Melaka, Ne­geri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Kedah muncul juara sulung setelah me­ngalahkan Johor dan diha­diahkan sebuah piala perak.

Persatuan Pertanian dan Hortikultur Malaya (MAHA) mengambil alih penganjurannya pada 1926, 1927, 1928, 1930, 1935 dan 1938 sebelum diserahkan kepada Persekutuan Sepakbola Melayu Semenanjung (PSMS, nama lama PBMM yang ditubuhkan pada 1947).

Selangor berjaya memenangi piala tersebut tiga kali berturut-turut dari 1923 hingga 1925 dan menurut peraturan pertandi­ngan, berhak menyimpannya dan tidak akan dipertandingkan lagi.

Sebagai ganti, Sultan Perak, Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah Kudusullah; Sultan Selangor, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Atikullah; Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abdullah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, menghadiahkan sebuah lagi piala baharu yang digelar Piala Emas Sultan-Sultan.

Piala Agong yang turut dianjurkan PBMM merupakan kurniaan Yang di-Pertuan Agong kepada PSMS untuk dijadikan rebutan pertandingan secara tahunan antara pasukan Melayu Utara dan pasukan Melayu Selatan mulai 1962.

Pertandingan ini telah dihentikan selama dua tahun iaitu 1976 dan 1977 kerana kurang sambutan namun dihidupkan semula mulai 1978 dan dijadikan rebutan antara pasukan-pasukan yang layak ke final PERR.

Pada tahun berikutnya, juara Piala Agong bertemu dengan juara PERR hingga 1984.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan Piala Agong yang baharu dengan satu format diperkenalkan pada 1985 melibatkan empat pasukan yang layak ke separuh akhir PERR turut layak bersaing bagi Piala Agong hingga 1988.

Pada 1989, format pertan­dingan diubah lagi dan kembali seperti 1978-1984 iaitu juara Pia­la Agong bertemu dengan juara PERR sebagai pembuka tirai musim baharu.

Menjadi pentas aksi pemain berbilang bangsa di negara ini