Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik Lyon itu, England terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas kaptennya, Steph Houghton gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan baik untuk menewaskan penjaga gol lawan, Alyssa Naeher.

Pasukan AS yang merupakan juara bertahan dilihat lebih layak untuk mara ke pentas final menerusi jaringan Christen Press dan Alex Morgan sementara England pula terpaksa menerima hakikat gagal sekali lagi di separuh akhir selepas memperoleh satu gol hasil sentuhan Ellen White.

“Saya sedikit pun tidak kecewa meskipun aksi 90 minit kali ini sangat mendebarkan buat saya sebagai pengendali pasukan.

“Houghton adalah seorang pemain yang terbaik ketika mengambil sepakan penalti,” katanya.

Justeru, katanya, tanggungjawab tersebut tidak diberikan kepada pemain lain.

“Keputusan itu telah dilakukan enam bulan sebelum kejohanan bermula, namun dalam bola sepak ada kalanya sepakan yang diambil itu berjaya dan ada kalanya tidak,” jelasnya.

Neville juga menjelaskan pasukannya tetap berjaya memberi cabaran hebat kepada AS meskipun akhirnya akur keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Tiada kata-kata yang boleh membuatkan pemain saya kembali ceria. Namun, cara mereka beraksi menyebabkan saya berasa bangga dan gembira. Saya mahu melihat senyuman bukannya tangisan,” katanya. – Agensi