Pada saingan tersebut, skuad trio wanita negara yang terdiri daripada Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman melakukan 4,326 jatuhan pin.

Lebih manis, ia adalah pingat emas pertama buat skuad boling wanita negara dalam temasya kedua terbesar Dunia itu selepas kali terakhir memenangi acara berpasukan di Doha, Qatar pada edisi 2006.

Perkara tersebut nyata membuatkan Siti Safiyah terharu kerana penantian tersebut dianggap cukup berbaloi memandangkan mereka tidak meletakkan sasaran pingat pada acara tersebut pada temasya kali ini.

“Kami sangat gembira dapat menjadi penyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia. Ia hadir secara mengejut kerana pasukan boling wanita negara sudah lama tidak memenangi pingat emas.

“Kalau tidak silap kali terakhir adalah pada edisi 2006 di Doha dan penantian 12 tahun ini sangat berbaloi dan saya percaya kami berhak untuk menang,” katanya selepas tamat saingan semalam.

Trio wanita negara meninggalkan pencabar terdekat, Taiwan yang meraih pingat perak selepas menjatuhkan 4,255 pin, manakala Singapura meraih pingat gangsa dengan 4,250 jatuhan pin.

Sementara itu, Afifah mengakui sangat bersyukur dapat menyumbangkan pingat emas buat negara dan berharap keputusan lebih baik dapat diraih dalam acara akan datang.

“Kami beraksi tanpa sebarang tekanan kerana tidak menyasarkan pingat emas untuk acara ini. Namun, semangat yang dipamerkan oleh rakan-rakan melonjakkan motivasi kami untuk meraih pingat ini,” katanya.

Sementara itu, satu lagi wakil trio wanita negara yang terdiri daripada Shalin Zulkifli, Sin Li Jane dan Natasha Mohamed Roslan meraih tempat keempat dengan melakukan 4,114 jatuhan pin.