Ini kerana Norshahrul percaya Thailand yang didakwa mahu mengambil pendekatan berhati-hati dengan mempamerkan corak bertahan akan berusaha berhabis-habisan memburu gol sebagai bekalan untuk aksi timbal balik kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok Rabu depan.

Norshahrul yang lebih mesra disapa Mat Yo mengakui pertembungan dengan Thailand menjadi satu perlawanan cukup penting dalam misi mengulangi pencapaian skuad kebangsaan muncul juara pada edisi 2010.

Atas kertas, Thailand tampil pasukan pilihan, namun bintang Pahang itu menggesa rakan sepasukannya agar tidak terlalu memandang tinggi kepada skuad Gajah Perang tersebut.

“Saya tidak percaya (Thailand akan mempamerkan corak bertahan). Mungkin mereka mahu bermain psikologi semata-mata. Ini kerana kita tahu Thailand memiliki corak menyerang. Jadi, saya tidak percaya mereka mahu bermain secara bertahan di sini.

“Thailand ada kelemahan. Mereka juga negara ASEAN sama seperti kita, bukannya dari Eropah atau Asia.

“Mereka juga ada membuat kesilapan-kesilapan sama seperti kita ketika menentang Singapura. Jadi, kita harus bijak memanfaatkan setiap kesilapan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Mat Yo, 32, mengaku moral tinggi menyelubungi kem pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu sekali gus menafikan perasaan takut untuk berdepan Thailand yang merupakan juara sebanyak lima kali Piala AFF.

“Saya mendapati semuanya (pemain) gembira dan tenang menghadapi perlawanan separuh akhir (menentang Thailand) ini.

“Apa yang dimaklumkan kepada kami adalah berjaga-jaga dengan tindak-tanduk mereka ketika perlawanan ini.

“Apa yang penting, kami sudah bersedia untuk bertemu Thailand dan sudah pasti kita mahu membawa bekalan selesa ketika berkunjung ke Bangkok minggu depan,” katanya.