Pada aksi tersebut, skuad negara terpaksa akur de­ngan kehebatan pasukan dari Asia Barat itu yang meraih gol seawal minit ke-7 menerusi jaringan Saeed Murjan meskipun ada usaha bangkit untuk mengikat kedudukan sebelum keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Kata Cheng Hoe, barisan pemain diharap dapat menjadikan aksi pada kali ini sebagai iktibar kerana cabaran pada aksi pembukaan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia pada Khamis depan lebih sukar.

“Perkara positif yang boleh diambil pada aksi itu adalah persembahan pemain pada separuh masa kedua sangat bagus apabila mereka me­ningkatkan tempo serta me­ngawal bola dengan baik selain berjuang mendapatkan semula kawalan bola.

“Justeru, saya harap momentum sama dikekalkan oleh pemain pada aksi menentang Indonesia nanti. Saya tidak mahu situasi lambat panas terutama kelekaan yang dilakukan pada babak pertama berulang.

“Ini kerana aksi bertemu Indonesia bakal berbeza selain suasana bermain di gelanggang lawan dan saya mahu pemain bersedia dari aspek fizikal dan mental,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Jordan, Vital Borkelmans memuji aksi yang ditampilkan oleh skuad Harimau Malaya selepas berjaya memberi tekanan kepada anak-anak buahnya terutama pada separuh masa kedua.

“Saya rasa kami sepatutnya boleh meledak dua atau tiga gol pada babak pertama tetapi ia tidak berlaku. Pada babak kedua, pasukan lawan pula yang melakukan asakan tetapi nasib ternyata menyebelahi kami selepas dapat mengekalkan keputusan hingga ke wisel penamat,” katanya.