Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dua insentif itu masing-masing melibatkan imbuhan dalam bentuk kewangan serta hadiah berupa anugerah daripada kerajaan negeri.

“Kedua-dua insentif tersebut akan diumumkan selepas piala berkenaan dibawa menghadap dan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kuala Kangsar, Ahad ini.

“Apabila kita menang, saya dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bahawa kita akan mendapat imbuhan kewangan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk diberikan pada pemain. Jadi, kerajaan negeri akan menambah imbuhan tersebut dan jumlahnya akan saya umumkan nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 di sini hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, beliau juga sebelum perlawanan akhir sebenarnya telah memaklumkan kepada Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah bahawa kerajaan negeri akan memberikan insentif yang menarik sekiranya skuad The Bos Gaurus berjaya membawa pulang Piala Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Faizal selepas menjadi tetamu dalam program Radio Televisyen Perak semalam berkata, Piala Malaysia yang dimenangi Perak pada perlawanan akhir menentang Terengganu pada 27 Oktober lalu akan dipersembahkan kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ahad ini di Kuala Kangsar.

Beliau berkata piala itu yang kembali kepada Perak selepas 18 tahun akan dibawa ke Kuala Kangsar bersama barisan pemain sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Perak ke-62 yang disambut Jumaat lalu.

Tambah beliau, perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Nazrin malah semua pemain dan pegawai pasukan akan menerima pingat kebesaran daripada baginda pada Sabtu ini. - K! ONLINE