Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Sukan dan Rekreasi Carrara hari ini, Chong Wei sekali lagi akan membuat perhitungan dengan pemain No.1 dunia dari India, K. Srikanth, manakala Mei Kuan-Vivian bertemu gandingan England, Lauren Smith-Sarah Walker.

Dalam acara berpasukan campuran yang dimenangi India minggu lalu, Chong Wei tewas 17-21, 14-21 kepada Srikanth, justeru aksi hari ini dilihat sebagai peluang terbaik buat pemain No.7 dunia itu menebus kekalahan.

“Bertemu Srikanth esok (hari ini) merupakan satu perlawanan yang sangat sukar tetapi saya akan lakukan persiapan lebih rapi bagi menghadapinya. Bagaimanapun, tekanan berada padanya kerana dia adalah pemain No.1 dunia.

“Saya kalah kepadanya dalam acara berpasukan dan saya memang tidak sangka dia mampu bermain seperti itu. Memandangkan ini adalah Sukan Komanwel terakhir, sudah pasti saya mahukan pingat emas,” katanya ketika ditemui selepas aksi separuh akhir semalam.

Mengulas mengenai kemenangan 21-16, 9-21, 21-14 ke atas pemain India, H.S. Prannoy pada separuh akhir semalam, pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu mengakui berpuas hati dengan prestasinya selepas tewas dua kali kepada pemain tersebut sebelum ini.

“Saya tewas dua kali kepada Prannoy sebelum ini, jadi kali ini saya sudah bersedia sepenuhnya. Saya akui sangat sukar menentangnya hari ini (semalam), lebih-lebih lagi pada set kedua.

“Bagaimanapun, saya cu­­ba beri kata-kata sema­ngat pada diri sendiri di set ketiga dan ia nyata berhasil apabila berjaya menampilkan aksi yang lebih pantas. Selain itu, saya juga tidak mahu beraksi pada penentuan pingat gangsa memandangkan rehat terlalu singkat,” tambah Chong Wei.

Sementara itu, Vivian enggan terlalu memikirkan mengenai peluangnya meraih pingat pada aksi final hari ini kerana tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri serta Mei Kuan.

“Walaupun da­pat masuk ke final tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkan soal pingat kerana ia mungkin beri tekanan kepada kami. Paling pen­ting adalah sentiasa tenang dan kekalkan permainan se­perti biasa,” ujarnya.