FENATI (kiri) melalui detik sukar dalam kerjayanya selepas kontraknya musim ini dan musim depan dibatalkan ekoran insiden memalukan itu.

Pasukan Marinelli Snipers mengesahkan perkara tersebut setelah pelumba berusia 22 tahun itu turut digantung dua perlumbaan dan mungkin berdepan dakwaan jenayah ekoran tindakan itu.

“Dukacitanya kami ingin menekankan bahawa tindakan Fenati adalah tidak bertanggungjawab dan membahayakan pelumba lain serta tidak boleh dimaafkan,” kata jurucakap pasukan itu.

Ketika insiden itu berlaku, kedua-­dua pelumba sedang memecut laju di Litar Misano sebelum Fenati menghampiri Manzi dan menarik brek hadapan jentera pelumba itu menyebabkan dia hilang keseimbangan serta hampir terjatuh tetapi berjaya mengawal semula jentera Suter ditunggangnya.

Sejurus insiden tersebut, Fenati yang sering menimbulkan kontroversi membuat permohonan maaf di atas tindakannya yang hampir mengakibatkan Manzi terbabas.

“Saya minta maaf setelah berfikir dengan jelas. Saya berharap semua ini merupakan sebuah mimpi buruk. Saya melakukan tindakan memalukan dan tidak bertindak seperti seorang lelaki.

“Seorang lelaki akan menamatkan perlumbaan dan akan mengambil tindakan mengikut cara yang betul. Saya tidak sepatutnya bertindak dengan cara provokasi seperti itu,” ujarnya.

Lebih malang, Fenati sepatutnya bakal menyertai pasukan MV Agusta musim depan bergandi­ngan dengan Manzi tetapi kontrak tersebut juga dibatalkan kerana tindakannya itu. – Agensi