Jaguh keirin dan ratu terjun negara itu adalah antara lima calon yang disenarai pendek oleh SAM dalam merebut anugerah berkenaan yang akan diumumkan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017 yang berlangsung esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Mohd Azizulhasni, 30, mendapat tumpuan selepas kejayaan meraih gelaran juara keirin dunia pada 13 April 2017 di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu, yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' itu pernah menjadi penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS pada 2009.

Atlet terjun kebangsaan, Jun Hoong, 27, turut melakar sejarah tersendiri selaku atlet Malaysia pertama meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary pada Julai.

Lagu Negaraku berkumandang di Duna Arena, selepas penerjun kelahiran Perak itu mengutip 397.50 mata dalam acara 10m platform individu wanita, sekali gus mengetepikan bekas juara dunia, Si Yajie dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, Ren Qian, masing-masing dari China.

Perebutan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2017 kali ini sememangnya menyaksikan saingan sengit dalam kalangan juara-juara dunia, termasuklah atlet wushu, Wong Wen Son yang meraih pingat emas dalam disiplin Jianshu lelaki pada Kejohanan Wushu Sedunia ke-14 di Kazan, Rusia.

Calon lain yang turut bersaing ialah trio Duilian wanita, PhoonEyin, Loh Ying Tin dan Tan Cheong Min serta skuad tenpin boling wanita yang dibarisi Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan.

Anugerah Atlet Para Terbaik pula menyaksikan saingan empat  penjuru antara Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly daripada sukan olahraga, Cheah Liek Hou (badminton) serta Muhammad Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol (berbasikal trek).

Muhammad Ziyad, jaguh lontar peluru lelaki F20, mencipta pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2017 yang menyaksikan beliau meraih pingat emas di samping mencipta rekod baharu dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London selepas cemerlang memegang rekod dunia pada temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016.

Sekembalinya dari London, beliau mencipta kejutan dengan meraih pingat gangsa dalam penampilan sulung di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan seterusnya mempertahankan pingat emas temasya Sukan Para ASEAN buat kali keempat berturut-turut.

Abdul Latif yang berjaya mempertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki T20 dan memperbaharui rekod miliknya di kejohanan yang sama, turut mempertahankan pingat emas acara lompat jauh temasya Sukan Para ASEAN buat kali ketiga berturut-turut.

Jaguh badminton para negara, Cheah pula merangkul gelaran juara dunia kategori SU5 (kecatatan anggota bahagian atas) pada final Kejohanan Dunia BWF-Para di Ulsan, Korea Selatan manakala gandingan Muhammad Afiq Afify bersama jurumudinya, Muhammad Khairul Adha pula adalah pemenang pingat gangsa acara pecut tandem pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Amerika Syarikat.

Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah wang berjumlah RM50,000 melalui Anugerah SAM-100PLUS kali ini.

Anugerah itu terbahagi kepada enam kategori - Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik. - Bernama
 
SENARAI ATLET TERBAIK SAM:
1995 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1996 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1997 - Nurul Huda Baharin (menembak)
1998 - Lim Keng Liat (renang)
1999-2001 - Tiada Anugerah
2002 - Lim Keng Liat (renang) dan S. Premila (karate-do)
2003 - Lim Keng Liat (renang)
2004 - Bryan Nikson Lomas (terjun)
2005 - Nicol Ann David (skuasy)
2006 - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)
2007 - Wong Mew Choo (badminton)
2008 - Lee Chong Wei (badminton)
2009 - Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)
2010 - Pandelela Rinong Pamg (terjun)
2011 - Nur Suryani Taibi (menembak)
2012 - Pandelela Rinong Pamg (terjun)
2013 - Sazali Samad (bina badan)
2014 - Nicol Ann David (skuasy)
2015 - Pandelela Rinong Pamg (terjun)
2016 - Lee Chong Wei (badminton)
 
ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:
2016 - Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)