Kiambi yang membuat penampilan kedua bersama skuad Tok Gajah musim ini selepas menggantikan Ze Love dilihat mula mempamerkan ta­ring di atas padang.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, Kiambi sudah mula serasi dengan Nwakaeme sehingga membuatkan benteng pertahanan PKNP FC tidak senang duduk.

“Kedua-dua awang import kita pada jentera serangan berjaya mengucar-kacir benteng pertahanan lawan dengan me­lancarkan serangan bertali arus.

“Kesebelasan utama yang saya turunkan malam ini (kelmarin) juga berfungsi dengan baik sehingga menyukarkan pergerakan pasukan pelawat,” katanya selepas tamat perlawanan.

Menurut Dollah, dua gol ma­sing-masing dijaringkan oleh Kiambi dan Nwakaeme ter­nyata menggembirakan beliau sekali gus mengutip tiga mata berharga di laman sendiri.

“Jentera serangan menguasai bola di semua sudut dan saya lihat Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh juga beraksi dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Dollah memberitahu, beliau mahu aksi lebih baik dapat dipamerkan apabila berdepan Perak pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di laman sendiri pada Sabtu ini.

“Saya berharap mereka mampu menyerlah dalam perlawanan itu nanti dalam usaha kita mengekalkan kejuaraan Piala FA,” jelasnya.

Pada aksi kelmarin, Pahang menang selesa 2-0 apabila Kiambi meledakkan gol pertama pada minit ke-21 diikuti jaringan Nwakaeme 10 minit kemudian.