Gergasi Belanda itu dilaporkan enggan melepaskan dua permata baharu The Oranje tersebut dengan nilai yang murah apabila meletakkan harga €75 juta (RM357.6 juta) buat De Jong manakala €65 juta (RM309.9 juta) untuk De Ligt.

Kecemerlangan ditunjukkan kedua-dua pemain antarabangsa Belanda itu telah menarik minat beberapa pasukan di Eropah untuk menyambar khidmat mereka termasuk Barcelona.

De Jong, 21, yang beraksi di bahagian tengah telah membuat empat penampilan antarabangsa bersama Belanda selepas sejak disenaraikan kali pertama bulan lepas selain mencipta tujuh gerakan gol daripada 22 perlawanan bersama Ajax musim lalu.

De Light, 19, pula dianggap sebagai tonggak pertahanan penting buat Ajax musim ini dan turut menjadi pilihan utama bergandingan dengan pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk bersama Belanda di pentas antarabangsa.

Kedua-dua pemain itu turut memainkan peranan penting membantu Ajax mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas juara Greece, AEK Athens kelmarin.

Mereka berdua sekali lagi berpeluang membantu Ajax mara ke pusingan seterusnya sebagai juara Kumpulan E sekiranya berjaya menewaskan Bayern Munich pada aksi terakhir peringkat kumpulan bulan depan. - Agensi