Perkembangan terbaru itu disahkan sendiri oleh presiden persatuan Datuk Ayub Rahmat kepada  Bernama  dalam pertemuan di sini baru-baru ini.

"Kedua-dua atlet angkat berat itu berdepan kemungkinan pergantungan mandatori selama  empat tahun sebagaimana peraturan ditetapkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF)," menurutnya.

Beliau enggan mendedahkan identiti kedua-dua atlet angkat berat itu yang gagal dalam ujian doping itu atau negeri diwakili mereka pada Sukma di Perak itu, tetapi kemungkinan mereka adalah pemenang pingat.

Ayub yang memegang tampuk PABM sejak Mei lepas juga berkata, persatuan juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi atlet angkat berat yang gagal dalam ujian doping pada SUKMA yang lepas.

"Setakat ini dua orang (yang gagal ujian doping) ketika Sukma. Masih ada lagi keputusan (ujian doping) yang belum kita perolehi. Harap-harap tiada lagi yang gagal ujian doping," kata Ayub. 
Kedua-dua atlet angkat berat terbabit didapati positif bagi Sampel A, menurutnya dan menambah, sekiranya kedua-duanya tidak berpuashati dengan keputusan itu mereka boleh  meminta diadakan  ujian terhadap Sampel B.

Tetapi amat jarang bagi kedua-dua sampel menunjukkan keputusan yang berlainan.  
Katanya, PABM mengenakan peraturan yang ketat terhadap semua atlet angkat berat yang mahu menyertai Sukma dengan mengkehendaki mereka menjalani ujian doping sebelum  dibenarkan menyertainya.

Mana-mana atlet angkat berat yang gagal mengambil ujian doping itu tidak dibenarkan menyertai Sukma. - Bernama