Venue perlawanan Perlis dan JDT II pada asalnya berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar terpaksa diubah ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pukul 9 malam.

Perubahan ini dibenarkan oleh MFL selepas mendapat permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan persetujuan bersama JDT II.

Ia bakal menyaksikan JDT II menjadi tuan rumah manakala Perlis pula akan menjadi tuan rumah pada pertemuan kedua dalam saingan Liga Premier pada Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, perubahan venue pada perlawanan ketiga Liga Premier itu terpaksa dilakukan selepas Stadium Tuanku Syed Putra masih lagi dalam proses menaik taraf tahap pencahayaan lampu untuk membolehkan mereka beraksi pada sebelah malam.

“Mereka (Persatuan Bolasepak Perlis) sudah berhubung dengan pasukan JDT II untuk mengubah jadual perlawanan, mereka akan bermain di tempat lawan dahulu dan secara timbal balik mereka akan main di tempat sendiri nanti.

“Ini kerana kerja naik taraf lampu yang kita syorkan belum selesai, jadi jadual perlawanan antara kedua-dua pasukan perlu diubah dan mereka telah bersetuju untuk menukar venue perlawanan. Perkara ini tidak perlu dijadikan isu,” katanya.

MFL menetapkan piawaian tahap pencahayaan lampu stadium adalah pada tahap 1,200 lux bagi membolehkan perlawanan diadakan di sebelah malam.

Manakala satu lagi perlawanan Liga Premier Selangor United menentang Negeri Sembilan pada 3 Mac depan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) jam pukul 4.45 petang terpaksa diubah kepada 2 Mac.

Ia susulan pihak MPS tidak membenarkan perlawanan bola sepak Liga Malaysia 2019 diadakan pada tarikh berkenaan berikutan terdapat aktiviti komuniti penduduk kawasan Selayang di dalam kawasan pekarangan stadium. - K! ONLINE