Ketika ini, pelumba Honda, Marc Marquez semakin selesa apabila ­meraih kemenangan di Aragon, sekali gus memiliki kelebihan 72 mata berbanding Dovizioso dengan baki lima perlumbaan musim ini.

Hasil keputusan tersebut memberi tekanan kepada Dovizioso yang dilihat hampir tidak berupaya untuk mengejar kedudukan itu.

“Untuk mengutip 72 mata dalam baki lima perlumbaan, ia adalah tugas yang mustahil. Hanya jika Marquez tidak berlumba pada baki saingan, barulah harapan saya kembali. Bagi saya, atas kertas ia adalah satu tugas sukar tetapi dalam perlumbaan apa-apa mampu terjadi.

“Di Aragon kami mampu menguasai perlumbaan tetapi Marquez tidak akan membiarkan perkara tersebut terjadi dan akan melakukan apa sahaja meskipun terpaksa mengambil risiko untuk muncul juara.

“Saya tidak ada cara lain kecuali beraksi dengan lebih berhati-hati jika terjatuh sudah pasti Marquez boleh menjulang kemenangan di sini lebih awal. Sebab itu saya lihat Marquez lebih agresif ­berbanding perlumbaan sebelum ini,” kata Dovizioso.

Meskipun meraih kedudukan ­kedua, Dovizioso tetap gembira apabila jentera Ducati mampu memberi tentangan hebat di Litar MotorLand dan dia mahu membawa keputusan positif itu dalam baki lima perlumbaan nanti.

“Litar Phillip Island adalah trek yang ­paling mencabar buat Ducati dan sudah pasti kami akan berdepan tugas berat di sana. Bagi litar lain saya rasa tiada tekanan dan kami mampu lakukan yang terbaik,” tambahnya. – Agensi