Pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Litar Bugatti, Le Mans tersebut, pelumba Itali itu yang memulakan perlumbaan di petak keempat bermula baik apabila berjaya menduduki tempat pertama selepas memintas rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila Dovizioso terbabas dan tergelincir di selekoh keenam selepas perlumbaan hanya berlangsung empat pusingan.

Keadaan tersebut turut menimpa pelumba Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco apabila turut terbabas, sekali gus membuka ruang kepada Marc Marquez untuk muncul juara pada saingan itu.

Hasil keputusan tersebut, Marquez terus selesa sebagai pendahulu carta kedudukan MotoGP selepas me­ngumpul 95 mata dan meninggalkan Dovizioso di kedudukan kesembilan dengan perbezaan 49 mata.

“Saya melakukan kesilapan kecil dan saya tidak dapat menerima insiden seperti ini kerana ia menjejaskan peluang saya untuk memburu gelaran utama pada musim ini.

“Bagi saya, untuk bersaing dengan Marquez bagi gelaran dunia musim ini terlalu sukar kerana Honda kini mendahului perlumbaan dengan selesa di depan. Saya sangat kecewa dan tidak dapat menerimanya,” kata Dovizioso.

Marquez melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam lima pusingan musim ini dan dilihat berpeluang cerah untuk mempertahankan gelaran dunia dan yang keenam tanpa sebarang tekanan. – Agensi