Laporan media sebelum ini mendakwa khidmat Costa yang bermain di posisi sayap sangat ditagih oleh The Red Devils, namun pengendali baharu Juventus, Maurizio Sarri enggan melepaskannya.

Menurut Costa, berita perpindahan itu telah disebarkan oleh bekas ejennya, Giovanni Branchini yang kini tidak lagi menguruskan karier peribadinya, sekali gus membuktikan bahawa segala khabar angin tersebut langsung tidak berasas.

“Saya mahu menafikan sebarang ke­nyataan Branchini yang mendakwa saya hampir berhijrah ke salah sebuah kelab terkemuka EPL baru-baru ini. Ia adalah satu berita palsu.

“Apa yang pasti, saya tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan pada jendela perpindahan sebelum ini.

“Sememangnya, hasrat saya adalah untuk kekal bersama Juventus sejak saingan pramusim lagi dan saya mahu membantu pasukan saya mencapai sasaran pada musim ini.

“Selain itu, saya juga mahu mengesahkan bahawa ejen rasmi saya ketika ini adalah Junior Mendoza dan hanya dia yang layak mengeluarkan kenyataan bagi pihak saya,” kata pemain antarabangsa Brazil itu. – Agensi