Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengakui bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta telah menghubunginya berkenaan slot Moto2 bagi musim 2020 dan akan melakukan perbincangan di Grand Prix (GP) Republik Czech pada Ogos nanti.

“Sebentar tadi (malam semalam) Dorna telah menghubungi saya mengenai satu lagi slot Moto2 dan dia berjanji kepada saya bahawa akan memberikan kepada kami tetapi perlu berbincang dengan mereka ketika perlumbaan di Litar Brno (Republik Czech pada awal Ogos) untuk mendapatkan 200 peratus pengesahan.

“Dorna faham keadaan kita dan mereka juga lihat kita serius dalam perlumbaan MotoGP. Hubungan kita dengan Dorna sangat baik dan saya yakin kita akan dapat slot tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Grand Prix (GP) Malaysia.

Jika keputusan itu dimuktamadkan, ia bermakna pelumba negara, Khairul Idham Pawi bakal menerima rakan sepasukan baharu menjelang perlumbaan bagi musim 2020 nanti namun keputusan SIC untuk meletakkan pelumba tempatan atau luar negara masih belum diputuskan.

“Mengenai pemilihan pelumba kita masih belum putuskan lagi dan perlu dapatkan slot Moto2 terdahulu sebelum kita memikirkan perancangan seterusnya,” ujar Razlan. - K! ONLINE