Kisah dongeng anak-anak buah Zlatko Dalic berterusan sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan sekali gus menyaksikan para pemain Croatia meraikan kejayaan melakar sejarah julung-julung kali ke aksi final bersama ribuan penyokong bak lautan merah dan putih ketika mengibarkan bendera kebangsaan.

Wira Croatia sudah tentunya Ivan Perisic yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68 sebelum menjadi perancang utama mencipta umpanan gol kemenangan yang disempurnakan oleh Mario Mandzukic (m-109) untuk menewaskan skuad The Three Lions.

“Negara kerdil Croatia melangkah ke final Piala Dunia! Tiada seorang pun yang percaya Croatia melangkah sejauh ini sebelum bermulanya Piala Dunia, namun kami tetap percaya,” tegas Perisic.

Kemenangan itu menyaksikan Croatia berpeluang membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Perancis pada aksi separuh akhir Piala Dunia 1998 apabila kedua-dua negara itu membuat perhitungan semula di pentas akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.