DJOKOVIC merangkul gelaran Grand Slam ke-14 sepanjang kariernya apabila menumbangkan del Potro pada aksi final Terbuka Amerika Syarikat yang berlangsung awal pagi semalam.

Pemain berusia 31 tahun itu berjaya menafikan cabaran pemain Argentina, Juan Martin del Potro selepas menang dengan keputusan 6-3, 7-6 (6-4), 6-3 selepas beraksi lebih tiga jam.

Djokovic berkata, Sampras yang juga pemain legenda Amerika Syarikat merupakan idolanya sejak kecil dan kejayaan menyamai rekod 14 trofi Grand Slam sangat di luar dugaan.

“Saya anggap Sampras sebagai salah seorang pemain tenis terbaik sepanjang zaman dan idola saya sejak kecil selain watak yang bertanggungjawab membuatkan saya bercita-cita untuk menjadi pemain tenis profesional,” katanya.

Kini, Djokovic mengakui berazam untuk memburu status dua lagi pemain tenis berpengaruh, Roger Federer yang meraih 20 gelaran Grand Slam dan Rafael Nadal yang memiliki 16 gelaran Grand Slam.

“Ketika saya muda, saya rasa tidak bernasib baik kerana berada dalam zaman ketika tenis didominasi oleh Nadal dan Federer. Namun, saya akui sangat terhutang budi dengan mereka kerana mereka menjadikan saya pemain yang lebih baik.

“Saya harap perseteruan dalam kalangan kami akan berterusan secara sihat untuk beberapa musim lagi,” katanya yang turut menjuarai Terbuka Wimbledon tahun ini. - Agensi