Djokovic yang sebelum ini melakukan pembedahan pada bahagian siku selepas tewas pada saingan Terbuka Austra­lia Januari lalu dilihat bergelut dengan prestasi terbaiknya apabila gagal meraih sebarang gelaran dalam enam kejohanan sebelum ini.

Pemain Serbia itu mengakui bersedia untuk terus mempamerkan peningkatan prestasi selepas berjaya mara ke saingan separuh akhir Terbuka Rome sebelum tewas kepada Rafael Nadal selain semakin selesa selepas kecederaannya yang semakin pulih.

Meskipun berjaya melepasi pusingan pertama, Djokovic dilihat tidak gembira apabila mengakui dia masih belum mempamerkan aksi yang terbaik ketika ini.

“Kamu sentiasa ingin memberikan yang terbaik setiap perlawanan tetapi jika dilihat pada aksi tersebut ia masih belum sempurna. Saya merasakan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu dipertingkatkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, juara Roland Garros 2016 itu mengakui bahawa dia kini mampu bermain dengan lebih baik dan bebas daripada rasa sakit setelah penderitaan 12 bulan yang panjang akibat kecederaan siku.

“Apa yang jelas musim ini masih lagi panjang dan segala-galanya mungkin boleh berlaku termasuk faktor kecederaan. Oleh itu, saya akan cuba kekal tenang untuk memastikan ke­adaan badan saya betul-betul cergas dan mampu beraksi pada tahap yang lebih baik,” katanya. – Agensi