Namun, bintang Serbia itu mengakui ia bukan satu tugas yang mudah kerana terpaksa berdepan cabaran hebat daripada ramai pemain generasi muda yang sedang meningkat naik.

Juara 14 gelaran Grand Slam itu melaungkan amaran awal bagi saingan musim 2019 selepas menjulang trofi Kejua­raan Dunia Mubadala 2018 setelah menumbangkan Kevin Anderson dengan keputusan 4-6, 7-5 dan 7-5 pada aksi final, kelmarin.

Pemain berusia 31 tahun itu ketika ini ketinggalan enam gelaran utama di belakang Federer dan tiga gelaran kepada Rafael Nadal, namun diramal kembali mendominasi arena tenis tahun depan seperti yang dipamerkannya ketika hujung musim 2018.

“Saya mungkin menipu jika saya kata tidak mahu merangkul kemenangan dalam Grand Slam sebanyak mungkin. Sudah pasti itu adalah objektif utama dan keinginan bagi seorang pemain tenis untuk meraih gelaran paling berprestij tersebut.

“Itulah antara kejohanan yang saya mahu tampilkan aksi terbaik sepanjang karier saya tidak kira berapa lama masa yang diperlukan,” jelas Djokovic.

Djokovic hanya mengalami tiga kekalahan dalam masa enam bulan lalu dan kesemua kekalahannya itu dicatat ketika menentang pemain muda berusia bawah 22 tahun iaitu Stefanos Tsitsipas di Terbuka Toronto, Karen Khachanov di Terbuka Paris dan Alexander Zverev pada Final Jelajah Dunia di London.

“Terdapat cabaran daripada beberapa pemain generasi baharu yang sedang meningkat naik dan juga masih perlu bersaing dengan Nadal, Federer, (Andy) Murray dan (Stan) Wawrinka.

“Zverev adalah ketua bagi pemain generasi baharu ini. Bagi saya ia akan jadi satu cabaran hebat untuk terus kekal di pe­ringkat tertinggi dunia tenis ini. Saya perlu terima hakikatnya dan berusaha keras untuk menjadi yang terbaik,” katanya. – Agensi