Pada aksi tersebut, Djokovic terpaksa akur dengan kehebatan pemain kelahiran Rusia itu dengan kekalahan menerusi set penentuan 6-3, 4-6, 6-2 dalam tempoh dua jam 20 minit.

Keputusan tersebut me­nyaksikan pemain dari Serbia itu masih gagal untuk mara sekurang-kurangnya ke pusi­ngan separuh akhir dalam mana-mana kejohanan siri Jelajah Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP), sejak merangkul kejuaraan Grand Slam di Terbuka Australia pada Januari lalu.

Djokovic, 32, menjelaskan situasi yang dialami sekarang tidak seteruk seperti yang dibayangkan dan percaya mampu bangkit pada kejohanan lebih besar termasuk di Terbuka Perancis yang akan berlangsung bulan depan.

“Secara jujur, sasaran utama saya adalah untuk menambah koleksi gelaran Grand Slam dengan menjuarai Terbuka Perancis pada bulan depan. Saya tidak terlalu risau dengan prestasi ini sepanjang beberapa bulan lepas kerana ia adalah perkara normal.

“Ini adalah aksi pertama saya di atas gelanggang tanah liat pada musim ini dan saya tidak meletakkan sasaran yang tinggi. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pres­tasi semasa, cuma saya akui apa yang dipamerkan ketika ini agak tidak konsisten,” kata Djokovic.

Juara edisi 2013 dan 2015 di Monte Carlo itu turut memuji aksi pilihan ke-10, Medvedev yang kini mendahului senarai pemenang paling banyak pada musim ini dengan 21 perlawanan dan mengatasi Roger Federer yang hanya mencatat 18 kemenangan.

“Pujian juga perlu diberikan kepada Medvedev yang mempamerkan aksi cemerlang khususnya pada set penentuan. Saya terima kekalahan ini dengan hati terbuka dan saya harap dapat beraksi lebih bagus pada saingan akan datang,” katanya. – AFP