Djokovic, yang juga pemenang di Roland Garros pada 2016 dile­takkan sebagai pi­lihan selepas bergelut dengan masalah prestasi susulan kecederaan siku. Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun tersebut mula mempamerkan aksi yang positif.

Bintang Serbia itu tidak beraksi pada tahap terbaik­nya di gelanggang Suzanne Lenglen tetapi berjaya mara untuk berdepan pilihan ke-13 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut bagi merebut tempat ke peringkat 16 terbaik.

“Saya amat gembira untuk berada di Suzanne Lenglen dan melihat begitu ramai orang memberi sokongan. Saya akui Munar seorang pemain yang hebat, dia memiliki banyak kualiti dan tumpuan yang bagus.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepadanya kerana perlawanan yang hebat hari ini. Mengenai kecederaan, saya tidak risau malah saya semakin selesa melakukan pukulan. Ini adalah fasa pemulihan bagi saya untuk mendapatkan rentak perlawanan semula.

“Faktor kecergasan juga mungkin sedikit menjadi isu kerana saya baru kembali ke ge­langgang setelah agak lama berehat ekoran masalah kecederaan tersebut.

“Saya akui tidak bermain pada tahap yang terbaik ketika ini. Apa yang saya boleh katakan, saya tidak akan mengalah dan cuba untuk mara lebih jauh pada kejohanan kali ini.

“Tidak perlu untuk me­ngulas mengenai kesukaran di sepanjang perlawanan ini. Sebagai seorang atlet saya harus menghadapi cabaran seperti ini,” kata­nya. – Agensi