Beliau yang akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki serta beregu campuran bagi kategori umur 70 tahun ke atas meletakkan sasaran untuk melakukan pencapaian lebih baik berbanding sebelum ini.

Selepas beberapa kali meraih pingat gangsa dan perak pada kejohanan antarabangsa sebelum ini, DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah tekad membawa pulang kilauan pingat emas dari Sri Lanka.

“Saya akan bermain dalam acara perseorangan, beregu lelaki serta beregu campuran pada kejohanan di Sri Lanka dan harus diakui, bukan tugas mudah memandangkan ia turut disertai pemain-pemain seluruh dunia.

“Sebelum ini, saya pernah beberapa kali memenangi pingat perak dan gangsa tetapi belum merasai nikmat juara pada kejohanan antarabangsa. Jadi, ini adalah peluang saya untuk lakukannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut, penyanyi itu mengakui ada mengalami sedikit kece­deraan selepas kakinya terseliuh ketika menjalani latihan tetapi ia tidak akan menjadi penghalang buatnya menampilkan aksi terbaik.

“Saya ada terseliuh sedikit ketika menjalani latihan, namun ia bukanlah kecederaan serius dan saya tidak berdepan sebarang masalah untuk bergerak di dalam gelanggang. Saya sedia bekerja lebih keras pada kejohanan ini.

“Dalam acara beregu lelaki, saya akan bergandingan de­ngan pemain Indonesia, Angus Husin, manakala pemain tuan rumah, Nandika bakal menjadi gandingan saya menerusi acara beregu campuran,” ujarnya.

Kemampuan DJ Dave tidak boleh dipertikaikan apabila beliau pernah memenangi pingat perak dua tahun berturut-turut pada Taiwan Mor­ning Cup 2013 dan 2014, gangsa kejohanan Asia Pasifik 2018 serta layak ke suku akhir All England Senior 2016.