Ketika menjadi pemain bola sepak, Diouf dilihat lebih gemar mencetus kontroversi di luar padang berbanding persembahan cemerlang dalam kariernya.

Dia berkelana selama 12 tahun di England untuk beraksi buat The Reds, Sunderland, Bolton Wanderers, Rangers dan Leeds United.

Namun, pemain kelahiran Dakar berusia 37 tahun itu mengakui dia kini berminat untuk terlibat dalam dunia politik dan menjadikan bekas pemain Chelsea dan AC Milan, George Weah yang menjadi Presiden Liberia sebagai inspirasinya.

“Saya mahu menjadi diri sendiri. Sejak beberapa tahun lalu, saya biasa berfikir mengenai bola sepak dan kini saya mahu memiliki karier baharu iaitu sebagai ahli politik.

“Saya mahu mengambil keputusan untuk terlibat dalam dunia politik kerana saya memiliki orang yang mahukan saya melakukan perubahan dalam negara saya.

“Jadi, saya bersedia untuk berbuat demikian kerana saya juga pernah mahu menjadi askar ketika di zaman kanak-kanak.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, saya akan menyertai politik ke­rana saya tahu akan mampu mengubah sesuatu untuk sukan bola sepak di negara ini. Malah, maka saya juga memiliki ke­ghairahan untuk berpolitik.

“Saya sebelum ini telah mengambil kursus kejurulatihan tetapi saya tidak mahu meneruskannya memandangkan saya memiliki rancangan lebih baik untuk dilakukan,” ujarnya. – Agensi